Sistem pendidikan di Malaysia khususnya pendidikan teknik dan vokasional sedang memasuki era baru malalui tranformasi yang dijalankan. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh agensi atau kementerian bertanggungjawab dalam bidang pendidikan. Antara usaha yang dilakukan adalah transformasi bidang pendidikan teknik dan vokasional dengan penetapan visi dan misi menerusi pelan strategik PTV. Semua usaha yang dilaksanakan ini adalah bertujuan melahirkan pelajar berminda kelas pertama yang berkualiti dan mampu membangunkan negara.
Dalam pada menghasilkan sumber manusia atau modal insan berkualiti, institusi latihan sewajarnya menerapkan ke semua unsur menjadi satu ramuan. Ramuan itu hadir menerusi gabung jalin antara pengetahuan, kemahiran, ketrampilan, personaliti dan ciri-ciri modal insan kelas pertama yang seharusnya ada dalam diri modal insan. Dalam konteks kajian ini modal insan merujuk kepada pelatih-pelatih institut latihan kemahiran. Justeru itu, penyelidik akan menjalankan kajian utntuk mengenalpasti tahap kualiti pembangunan modal insan berminda kelas pertama di Kolej Future Edge.
Kebanyakan negara maju telahpun menjadikan TVET sebagai teras pendidikan mereka lebih dua abad yang lalu dan kesannya telah mereka nikmati ketika ini. Ekosistem TVET yang terancang dan kukuh, akan melonjakkan keberhasilan modal insan berkemahiran tinggi dalam masyarakat.
Kemampanan sosial dan ekonomi sangat memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi kerana ia mampu menyediakan taraf hidup yang lebih baik kepada pelajar. Secara tidak langsung impak ini mendatangkan kesejahteraan pelajar melalui peluang pekerjaan yang luas, agihan ekonomi yang lebih adil, saksama serta inklusif kepada semua kumpulan pendapatan, etnik serta wilayah.
Kita sedar bahawa kejayaan gagasan Malaysia Madani itu tidak dapat dicapai dalam masa yang singkat. Namun melalui pemerkasaan TVET impian Perdana Menteri untuk mewujudkan negara yang mampan, rakyat yang sejahtera dan berdaya cipta pasti akan dapat dijayakan dengan lebih pantas.