Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET- Technical And Vocational Education And Training) merangkumi pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal yang mempersiapkan generasi belia dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam dunia pekerjaan. UNESCO telah mengiktiraf bahawa terdapat banyak istilah yang digunakan secara rawak untuk menggambarkan konsep yang sama, iaitu pendidikan dan latihan yang memberikan penekanan kepada kemahiran teknikal dan vokasional untuk menyediakan individu dengan kemahiran yang diperlukan dalam pekerjaan dan industri.
Pembangunan modal insan menjadi nadi dan penggerak pembentukan masyarakat untuk maju, proaktif dan berinovatif seterusnya berkemampuan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara keseluruhannya. Pasaran kerja yang cukup luas pada masa akan datang, sekali gus bakal menjadikan mereka sebagai graduan ‘terhangat di pasaran’.
TVET dianggap satu daripada kekuatan sistem pendidikan di negara maju seperti Jerman, Jepun dan Perancis, malah negara serantau seperti Korea Selatan, China dan Singapura. TVET mempunyai kelebihan tersendiri, antaranya membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran diri kerana didedahkan kepada inovasi dalam konteks dunia pekerjaan yang sebenar.Lepasan TVET mendapatkan pekerjaan selain membuka peluang kepada diri untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu apabila mereka memanfaatkan kemahiran dengan menceburi bidang keusahawanan.
Kebiasaannya lepasan TVET mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri, justeru prospek kebolehpasaran mereka agak luas. TVET boleh membantu mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dan meningkatkan peluang pekerjaan sekiranya program itu relevan dengan keperluan industri semasa dan masa depan.
Walaupun terdapat beberapa cabaran dalam pembangunan TVET di Malaysia, ada pelbagai usaha dan strategi yang dilaksanakan untuk meningkatkan mutu dan kerelevanan kursus-kursus TVET.
Secara keseluruhannya, TVET memainkan peranan penting dalam menyediakan tenaga kerja yang berkualiti, memenuhi keperluan industri, dan membantu ekonomi tumbuh dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi.