Teroka pendekatan baharu lahirkan pelajar TVET industri masa hadapan

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) antara bidang penting untuk memajukan sesebuah negara. Ini kerana untuk menjadi negara maju, kita perlu melahirkan pencipta bukan melahirkan pengguna. Selain itu, TVET mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri. Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk menghasilkan individu yang kompeten, berkemahiran dan berdaya saing sebelum menempuhi alam pekerjaan.

Tenaga kerja berkemahiran merupakan aset terpenting untuk negara bagi mencapai negara berstatus maju sepenuhnya. Walau bagaimanapun, pada peringkat sistem TVET, cabaran utamanya adalah untuk menghasilkan pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Selain itu, kualiti pelajar hasil program TVET juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan ekonomi yang mencabar. Kemampuan program-program TVET melahirkan lulusan yang versatil terbukti dapat menjana kemajuan ekonomi negara. Rata-rata lulusan TVET diterima bekerja dalam sektor dan industri pekerjaan sebaik sahaja tamat program latihan mereka.  Hal ini kerana, negara memerlukan tenaga kerja yang bertepatan dengan kehendak industri yang semakin membangun di Malaysia secara khususnya.

Selain itu, pendidikan teknikal dan latihan vokasional penting untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang teknikal dan tertentu. Sebagai contoh, pelajar boleh memilih untuk mempelajari bidang seperti pertukangan, kimpalan, elektrikal, kulinari, perhotelan dan juga automotif. Bidang-bidang ini memerlukan pekerja yang mahir dalam aspek teknikalnya supaya kerja di setiap peringkat dilaksanakan dengan baik. Apabila pelajar mempunyai kemahiran teknikal seperti dalam bidang automatif, mereka dapat bekerja sebagai mekanik di kedai-kedai servis kenderaan ataupun membuka sendiri pusat servis kenderaan.

Setiap pekerja mahir yang dilahirkan daripada program TVET dapat menyediakan anjakan paradigma yang konkrit, mampu melahirkan pekerja mahir terlatih dan dengan kemahiran yang dimiliki graduan keluaran TVET mampu mencipta peluang pekerjaan untuk diri sendiri dan orang lain. Buktinya, kadar kebolehpasaran graduan TVET pada 2020 adalah 87 peratus iaitu lebih tinggi daripada kadar kebolehpasaran graduan di peringkat nasional iaitu 84.4 peratus.Hasil kerja yang bermutu tinggi juga akan diperoleh kerana golongan tenaga kerja yang betul-betul mahir atau pakar dalam bidangnya melakukan pekerjaan.