Kenapa Program Berasaskan Kemahiran Kunci Kepada Kerjaya Yang Memberi Kepuasan

Bagi kebanyakan pelajar, hanya satu laluan kejayaan yang sebenar, universiti. Tidak berpeluang untuk memasuki universiti atau tiada minat untuk belajar, bukanlah penghujung segalanya. Kini, anda boleh mengasah potensi dan meneroka minat yang sebenar dengan cara yang lebih menyeronokkan, melalui Program Berasaskan Kemahiran.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia pekerjaan separuh mahir telah mendominasi pasaran buruh iaitu 62.2% daripada peluang pekerjaan yang ada. Pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi pula hanyalah 24.9%. Satu kerugian yang besar sekiranya peluang untuk mengasah kemahiran diri diabaikan begitu sahaja.

Apa yang membezakan Program Berasaskan Kemahiran ini dengan ijazah universiti?

Program ini memberi keutamaan kepada aktiviti yang memiliki permintaan tinggi dalam pasaran seperti pembuatan dan teknologi. Pelajar akan menerima pengalaman praktikal dalam konteks pekerjaan yang sebenar. Pelajar akan melalui proses penempatan pekerjaan sejurus tamat mengikuti program dengan pendekatan ““train-and-place.”

Tiada ilmu yang tidak penting, namun Program Berasaskan Kemahiran menawarkan kelebihan yang unik kepada para pelajar yang berhadapan dengan kesukaran untuk memberi tumpuan kepada akademik.

Oleh itu, sekiranya anda sedang mencari peluang kerjaya dalam bidang yang lebih tertumpu kepada kemahiran dan pengalaman praktikal berbanding teori, daftarkan diri untuk mengikuti Program Berasaskan Kemahiran yang ditawarkan.